BEIJING: Juara Sukan Olimpik Remaja, Kelly Sildaru bakal menjadi pesaing utama bintang kesayangan China, Eileen Gu dalam perebutan pingat emas ski gaya bebas slopestyle dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.
Atlet berusia 19 tahun itu berjaya menewaskan Eileen yang lebih dikenali sebagai Gu Ailing di China ketika Sukan Olimpik Remaja di Lausanne, Switzerland 2020.
Peluncur ski dari Estonia itu akan membuat penampilan pertama di Sukan Olimpik selepas menarik diri pada 2018 di PyeongChang akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
“Ini acara kegemaran saya dan sudah tentu saya mahu menang emas Olimpik pertama dalam penyertaan sulung.
“Saya sepatutnya beraksi di Olimpik 2018 namun kecederaan ACL membuat saya terlepas. Sekarang saya tidak sabar untuk bersaing.
“Saya sudah sihat dan memenangi pingat Olimpik akan memberi makna besar untuk saya dan Estonia,” ujarnya.
Sildaru memiliki enam kejuaraan slopestyle dalam temasya Ekstrem, empat emas di Dew Tour, malah turut meraih gelaran dunia 2019.
Bagaimanapun, Eileen juga tidak mahu terlepas peluang untuk terus menambah koleksi emasnya di Beijing selepas menjuarai acara ski gaya bebas, Selasa lalu.
Acara slopestyle yang sepatutnya berlangsung kelmarin terpaksa ditunda ke hari ini susulan salji tebal yang membataskan penglihatan. – AGENSI