YAOUNDE, Cameroon: Kebangkitan hebat yang dipamerkan di peringkat kalah mati meletakkan Senegal sebagai pilihan untuk menjulang Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) buat kali pertama apabila berdepan Mesir dalam final esok.
Biarpun ada 22 pemain bakal berada di atas padang di Stadium Olembe, namun tumpuan peminat terarah kepada dua bintang penyerang Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane.
Sebagai kapten Mesir, Salah memimpin pasukannya untuk memburu kejuaraan Afrika buat kali kelapan, manakala Mane pula mahu meneruskan prestasi cemerlang untuk membawa pulang trofi pertama selepas gagal dalam dua perlawanan akhir sebelum ini.
Kekebalan benteng Senegal diketuai penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy dan pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly, selain kreativiti bintang tengah Paris Saint-Germain (PSG), Idrissa Gueye menjadikan mereka pilihan untuk mengatasi Mesir.
Memulakan kempen dengan longlai selepas diikat 0-0 oleh pasukan kerdil Guinea dan Malawi, Senegal semakin kuat memasuki peringkat kalah mati.
Pasukan Teranga Lions menyingkirkan ‘pembunuh gergasi’, Equatorial Guinea di suku akhir, diikuti Burkina Faso pada peringkat empat terbaik.
“Sejujurnya kami sangat menderita dengan peningkatan kes Covid-19 dan isu kecederaan melanda pasukan.
“Ya, kami mengharungi fasa sukar dalam kejohanan ini, namun dengan pengalaman, kami melalui setiap perlawanan dengan tenang sehingga mara ke final,” kata Mane.
LALUAN MESIR LEBIH BERLIKU
Begitupun perjalanan Senegal ke final lebih mudah berbanding Mesir, yang mengharungi tiga perlawanan berturut-turut pada masa tambahan.
Tewas kepada Nigeria dalam aksi pembukaan, skuad Pharaohs mendapat momentum menewaskan Ivory Coast menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 16, diikuti Maghribi 2-1 selepas masa tambahan pada suku akhir dan menundukkan tuan rumah, Cameroon menerusi penalti di separuh akhir.
“Kami bermain di tengah-tengah keadaan yang sangat sukar tetapi kami berjaya mengatasinya.
“Kami bermain selama 120 minit untuk tiga perlawanan berturut-turut dan berjaya menyelesaikan tugas demi maruah negara tercinta. Kami akan menentang Senegal dengan keazaman setelah belajar daripada kekalahan kepada Cameroon pada 2017,” kata Salah.
Sementara itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp sempat menitipkan nasihat buat dua penyerang mereka yang bakal ‘bermusuhan’.
“Sekarang jelas, ia tidak mudah kerana seseorang pasti akan gembira selepas itu dan seorang lagi bersedih.
“Apa pun, kedua-dua pemain mempunyai peluang yang baik untuk mencapai sesuatu yang sangat besar buat negara mereka,” katanya. – AGENSI