LONDON: Pemain yang dibawa masuk untuk menyelamatkan sepakan penalti bukan sahaja gagal menyelamatkan walau satu pun tendangan lawan, malah menyepak bola tinggi dan menyebabkan Chelsea tumpas 10-11 menerusi penentuan penalti kepada Liverpool dalam final Piala Liga di Wembley hari ini.
Blues membuat pertukaran taktikal di hujung masa tambahan dengan memasukkan Kepa Arrizabalaga bagi menggantikan Edouard Mendy dengan harapan penjaga gol Sepanyol itu mampu menyelamatkan penalti lawan selepas masa penuh permainan berkesudahan 0-0.
Malangnya, tiada satu pun sepakan yang diambil 11 pemain Liverpool berjaya diselamatkan Kepa, sebaliknya dia yang menggalas tanggungjawab mengambil tendangan terakhir Chelsea menendang bola tinggi untuk memberikan kejuaraan kepada lawan.
Kemenangan itu membolehkan Reds memahat sejarah muncul juara terbanyak kejohanan dengan sembilan trofi, sekali gus menamatkan rentak cemerlang Chelsea yang masih segar menjuarai Piala Dunia Kelab, dua minggu lalu.
Bagaimanapun kejayaan tidak diraih dengan mudah, dan Liverpool bernasib baik tiga jaringan Chelsea dibatalkan kerana ofsaid.
Jaringan mereka yang disempurnakan Joel Matip juga dinafikan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana Virgil van Dijk didapati menarik pemain lawan dalam kotak penalti sebelum gol tersebut terhasil.
Kecekapan Mendy sepanjang 90 minit permainan menafikan banyak peluang keemasan Liverpool untuk memperoleh gol kemenangan menerusi Mohamed Salah, Sadio Mane, Luis Diaz, Naby Keita mahupun Van Dijk.
Begitupun memasuki 30 minit waktu tambahan, Chelsea mengambil alih penguasaan dan melancarkan serangan bertali arus tetapi kekebalan benteng Reds yang diketuai Van Dijk, selain kecekapan penjaga gol, Caoimhin Kelleher memastikan gawang Liverpool sukar ditembusi. – AGENSI