LONDON: Zinedine Zidane yang disebut-sebut bakal menggantikan Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu Paris Saint-Germain (PSG) musim depan mahu Cristiano Ronaldo menyertainya di kelab Perancis itu.
Zidane pernah bekerjasama dengan bintang Manchester United, Ronaldo ketika menjadi pengendali Real Madrid.
Menurut akhbar Britain, Daily Mirror, Zidane semakin hampir menyertai gergasi Ligue 1, PSG dan misi pertamanya adalah membawa masuk Ronaldo.
Kata laporan tersebut, Ronaldo yang menginjak 37 tahun pada 5 Februari lalu berazam untuk mengambil peluang mengenai kemungkinan bergandingan bersama Lionel Messi dan Neymar di PSG.
Zidane dijangka mengambil alih tempat Pochettino yang dikatakan bakal menggantikan Ralf Rangnick sebagai pengurus United hujung musim ini.
Legenda bola sepak Perancis itu membimbing Ronaldo sepanjang mereka berkhidmat bersama di Santiago Bernabeu dari 2016 hingga 2018.
Tidak lama selepas Zidane meninggalkan Real, Ronaldo kemudian menyertai Juventus pada dari 2018 hingga 2021 sebelum kembali ke pangkuan United tahun lalu.
Mereka mempunyai hubungan yang baik selepas membantu Real menjulang tiga trofi La Liga secara berturut-turut.
PSG sudah cuba mendapatkan Ronaldo pada masa lalu tetapi gagal meyakinkan kapten Portugal itu untuk berpindah ke Perancis. – AGENSI