LONDON: Cristiano Ronaldo mungkin memendekkan kepulangan keduanya di Manchester United selepas dilaporkan semakin kecewa dengan keadaan semasa di Old Trafford.
Bintang Portugal itu membuat kepulangan sensasi ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 12 Ogos lalu selepas meninggalkan United untuk menyertai Real Madrid menerusi perpindahan bernilai 80 juta pound (RM455 juta) ketika itu.
Penampilan semula pemain berusia 37 tahun itu bermula baik apabila dia meledak lima gol dalam empat perlawanan pertama, namun United bergelut dengan prestasi menyebabkan keterujaan Ronaldo untuk kekal semakin hilang.
Menurut akhbar Britain, The Sun, pemilik lima gelaran Ballon d’Or itu serius mahu meninggalkan kelab buat kali kedua sebelum kontrak dua tahunnya berakhir musim panas 2023.
Ronaldo dikatakan terkesan dengan kemerosotan prestasi United, yang menyaksikan mereka ketinggalan di belakang Manchester City, Liverpool dan Chelsea sejak sedekad lalu.
Red Devils juga sudah lapan tahun tidak menjulang trofi Liga Perdana dan musim ini mereka sudah pun terkeluar daripada kedua-dua piala domestik – Piala FA dan Piala Liga, selain 21 mata ditinggalkan City dalam Liga Perdana.
Sementara itu, pengendali sementara United, Ralf Rangnick enggan bersemuka dengan Ronaldo yang dikatakan ‘merajuk’ selepas tidak diletakkan dalam kesebelasan ketika seri 1-1 menentang Burnley, Rabu lalu.
Ronaldo terus meluru ke terowong sejurus tamat permainan selepa gagal memberi impak apabila masuk pada suku terakhir permainan.
“Seperti yang kita semua tahu, Ronaldo sudah berusia 37 tahun.
“Saya rasa dia sendiri tahu apa yang patut atau tidak patut dilakukan, dan apa yang perlu dibuat.
“Fokus kami adalah kepada perkara yang boleh kita kawal,” kata Rangnick. – AGENSI