Ronaldo, Fernandes jadi sasaran kemarahan penyokong - Utusan Malaysia

Ronaldo, Fernandes jadi sasaran kemarahan penyokong

CRISTIANO RONALDO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Cristiano Ro­naldo berang selepas Bruno Fernandes enggan melakukan hantaran kepadanya ketika Manchester United seri 0-0 menentang Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin.

Ia petang yang mengecewakan buat bintang Portugal itu apabila jaringannya dibatalkan kerana ofsaid, rembatan ter­kena tiang dan rakan sepasukan enggan memberi bola ketika dia berada pada kedudukan terbaik.

Red Devils keciciran mata buat kali ketiga dalam lima perlawanan liga untuk kekal di tangga keempat dengan 47 mata, namun Arsenal dengan 45 mata dan ke­lebihan tiga perlawanan mampu memintas pada bila-bila masa.

Secara keseluruhan, 22 percubaan dilancarkan United ke pintu gawang lawan, hanya tiga tepat ke sasaran, namun di­selamatkan oleh Watford.

Begitupun situasi paling mengecewakan peminat adalah pada minit ke-12 apabila Fernandes tidak mengendahkan Ronaldo biarpun itu peluang terbaik mereka meraih gol.

Fernandes yang menerima hantaran Anthony Elanga melepasi pertahanan lawan, namun kedudukannya tidak sebaik Ronaldo yang bersendirian di kanan gawang yang kosong.

Ronaldo dengan mudah boleh menolak bola jika me­nerima bola, malangnya Fernandes memilih untuk menendang sendiri dan sepakannya diselamatkan Ben Foster.

“Kami perlu lebih tajam di depan gawang. Kalau anda terlepas peluang sebanyak ini, sukar untuk menang,” kata pengendali United, Ralf Rangnick.

Di media sosial, penyokong menganggap zaman Ronaldo sudah berakhir, manakala Fernandes adalah liabiliti.

“Ronaldo tidak kelihatan se­perti Ronaldo yang pernah kita kenali,” tulis Manutdirishreds dalam Twitter.

“Cristiano Ronaldo sudah berakhir. Lelaki ini patut menggantung but sekarang. Bruno adalah liabiliti,” kata Nalayuckk.

“Ronaldo memalukan. Benar-benar bengang!,” tulis Busbybulletin.

“Tidak kisah terlepas kedudukan empat teratas jika ia bermakna Ronaldo perlu me­ninggalkan Manchester United,” komen yang ditinggalkan ­Maydnn. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya