LONDON: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berharap Roberto Firmino dan Diogo Jota dapat diturunkan apabila menentang Chelsea dalam final Piala Liga, Isnin ini.
Gandingan itu terlepas aksi Liga Perdana Inggeris menentang Norwich City hujung minggu lalu yang menyaksikan Reds menang 3-1 dan mungkin tidak dapat beraksi berdepan Leeds United esok.
Firmino dan Jota masing-masing mengalami kecederaan otot dan pergelangan kaki ketika Liverpool menumpaskan Inter Milan 2-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara minggu lalu.
“Benar, ia masih terlalu awal.
“Saya juga tidak tahu sama ada kami akan membuat keputusan saat akhir atau tidak.
“Saya telah berjumpa kedua-duanya hari ini, mereka nampak bagus tetapi Diogo dan Bobby (Firmino) memang selalu begitu.
“Kami perlu melihat secara terperinci perkembangan situasi ini, namun yang pasti kami akan melakukan apa sahaja,” kata Klopp ketika ditanya mengenai kedudukan dua pemain itu.
Sebelum pertemuan dengan Norwich, Klopp berkata, Firmino yang meledak gol pertama ketika menentang Inter mungkin terpaksa berehat lebih panjang.
“Diogo tampak lebih baik daripada yang kami jangkakan tetapi Bobby…Kami tidak tahu dia cedera sehinggalah beberapa hari selepas perlawanan.
“Kami ingat perkara kecil tetapi ia melibatkan otot dan ketika saya tidak pasti berapakah masa yang diperlukan untuk sembuh. Harap dia benar-benar bersedia untuk aksi hujung minggu,” kata Klopp. – AGENSI