LONDON: Pasukan Red Bull bertukar nama selepas menandatangani penajaan lumayan bernilai 369 juta pound (RM2.09 bilion) untuk musim baharu Formula Satu (F1).
Perjanjian lima tahun dengan Oracle menyaksikan pasukan itu kini dikenali Oracle Red Bull Racing.
Kontrak dengan firma teknologi itu antara yang paling mahal dalam sejarah sukan dunia dan peminat juara dunia, Max Verstappen juga dapat melihat jentera baharu Red Bull semalam.
Jaguh Belanda itu akan menggunakan jentera baharu untuk sesi latihan pra musim di Barcelona bulan ini.
“Ia nampak agak berbeza tetapi pada akhirnya ia tetap kereta F1.
“Ketika sesi ujian, banyak pusingan dapat dilakukan dan di situ banyak maklumat boleh diperolehi. Saya teruja menunggu hasilnya,” kata Verstappen mengenai jentera baharu pasukan.
Mengenai kerjasama dengan Oracle, prinsipal Red Bull, Christian Horner gembira ia hadir tepat pada masanya ketika kos siling musim baharu untuk setiap pasukan F1 adalah 107 juta pound (RM606 juta). – AGENSI