PETALING JAYA: Ujian getir menanti Putrajaya Cyborg apabila bakal menghitung pertemuan dengan Kuala Lumpur (KL) Thunder dan Kelantan Warriors sebaik sahaja pusingan kedua, saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) bersambung minggu ini.
Kapten Putrajaya, Muhammad Suhairi Sulaiman berkata, kedua-dua pasukan itu adalah pencabar yang sukar dan memiliki kekuatan sama iaitu di posisi tekong.
“Cabaran minggu ini memang paling sukar dan mencabar sebab kedua-dua pasukan diperkuatkan tekong utama daripada skuad negara.
“Saya menjangkakan tekanan yang kuat akan diberikan oleh kedua-dua pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Putrajaya yang kini menghuni kedudukan ketiga carta STL berkongsi 12 mata dengan pasukan tangga kedua dan juara bertahan, KL Thunder yang akan ditentang hari ini.
“Bagi saya, semua itu adalah cabaran untuk kami minggu ini. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi dan menetapkan kemenangan untuk pasukan.
“Saya cuma hendak pasukan saya tunjuk permainan yang baik demi maruah diri sendiri,” tegasnya.
Mengulas mengenai persediaan sepanjang musim berehat, bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan, Putrajaya menyertai sesi latihan seperti biasa pada sebelah malam setiap Isnin hingga Jumaat.
Tambahnya, memandangkan semua bekerja, latihan terpaksa dibuat pada sebelah malam.
“Selain berlatih, ada juga dalam kalangan pemain Putrajaya yang kami benarkan menyertai pertandingan kecil di Putrajaya dan Seremban, jadi ada pemain yang masih aktif bermain, tidak rehat sepenuhnya,” katanya.