Pusingan pertama STL selesai, ATM Guardians masih unggul - Utusan Malaysia

Pusingan pertama STL selesai, ATM Guardians masih unggul

ATM Guardians kukuh di carta teratas Liga Premier, STL 2021/2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aksi pusingan pertama Liga Premier pada Kejohanan Emas Anuar Sepak Takraw (STL) 2021/2022 telahpun berakhir hujung minggu lalu, dengan ATM Guardians muncul pendahulu carta liga dan dilihat pilihan untuk merangkul gelaran musim ini.

Persembahan konsisten yang dipamerkan naib juara musim lalu itu melayakkan ATM mengumpul 16 mata hasil lapan kemenangan dan anak-anak buah Aswadi Abdullah hanya ditimpa satu kekalahan apabila dikejutkan Selangor Pistons, Sabtu lalu di Stadium Titiwangsa.

Juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder pula melengkapkan aksi mereka di kedudukan kedua berkongsi 12 mata dengan pendatang baharu Premier, Putrajaya Cyborg yang berada di tempat ketiga.

KUALA Lumpur Thunder terus menghambat ATM dengan berada di tangga kedua liga.

Bagi ATM dan KL Thunder, kedua-dua pasukan itu sewajarnya berada di kelompok teratas, namun kehadiran naib juara Divisyen 1 musim lalu, Putrajaya yang berjaya menempatkan diri sebaris dengan dua pasukan itu dilihat sebagai satu kejutan.

Membariskan pemain separuh masa, Putrajaya hadir sebagai pasukan underdog yang tiada siapa menduga mampu menghadirkan cabaran sengit dalam saingan Liga Premier.

Pada awal saingan, tiada siapa yang melihat Putrajaya sebagai ancaman besar, tetapi apabila kemenangan demi kemenangan mereka kecapi persepsi terhadap skuad bimbingan Zulkarnain Arif itu perlahan-lahan mula berubah.

PUTRAJAYA Cyborg kejutan terbesar STL musim ini.

Aksi hujung minggu lalu, Putrajaya melakar kemenangan dalam dua perlawanan penting ke atas Kelantan Warriors dan juga mengejutkan KL Thunder yang diperkuatkan rata-rata pemain kebangsaan.

Sementara itu, satu lagi pasukan pilihan yang dilihat berpotensi mencabar ATM dan KL Thunder ialah Penang Black Panthers, tetapi dalam empat perlawanan terakhir pasukan utara tanah air itu secara tiba-tiba dilanda kemerosotan prestasi.

Pasukan yang dibarisi pemain-pemain muda berbakat besar itu kehilangan momentum sehingga ditimpa empat kekalahan berturut-turut di tangan Putrajaya, ATM, Perak Bison dan Johor Tigris.

Johor Tigris gagal memenuhi pengharapan awal.

Bagi pasukan yang berada dalam kelompok tiga tercorot pula iaitu Kelantan (6 mata), Johor (6 mata) dan Bomba Fighters (4 mata), hanya Johor yang mempamerkan peningkatan prestasi.

Skuad Tigris itu yang berhajat mahu mengelak daripada tersingkir ke Divisyen 1, mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam dua aksi terakhir mereka menentang Bomba dan Penang Black Panthers.

Menutup saingan pusingan pertama, STL akan bersambung selepas berehat selama 10 hari dengan Stadium Titiwangsa masih menjadi venue pertandingan apabila musim disambung pada 11 Februari ini sebelum beralih ke Kelantan, Pulau Pinang dan Perak serta Johor selaku tuan rumah Piala Juara-Juara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya