Piala pertama selepas 15 tahun buat Forestieri menangis - Utusan Malaysia

Piala pertama selepas 15 tahun buat Forestieri menangis

FERNANDO Forestieri (kanan) sebak hingga mengalirkan air mata ketika Ketua Jurulatih Benjamin Mora mengadakan sidang akhbar selepas JDT muncul juara Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu lalu. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: “Sepanjang 15 tahun karier profesional saya, belum pernah menjulang sebarang piala. Jadi, piala ini (Piala Sultan Haji Ahmad Shah) ini amat bermakna buat saya,” kata Fernando Forestieri sambil mengesat air matanya, Sabtu lalu.

Pada perlawanan Sumbangsih itu, Forestieri menjaringkan gol pertamanya dalam penampilan pertama yang membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL city) 3-0.

Forestieri akui perlawanan itu cukup mencabar buatnya kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan faktor cuaca serta permainan berintensiti tinggi.

Pemain berusia 32 tahun itu merasakan cukup bangga dapat membantu pasukan memenangi piala pertama yang menjadi pertaruhan pada musim ini.

FERNANDO Forestieri meraikan gol jaringannya bersama Shane Lowry dalam perlawanan Sumbangsih, Sabtu lalu. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

“Ketika perlawanan memasuki babak kedua, saya sudah merasakan keletihan, perlawanan berintensiti tinggi ini berbeza dengan sesi latihan bersama pasukan.

“Bagaimana pun, saya tetap cuba melakukan yang terbaik seperti yang ketua jurulatih (Benjamin Mora) mahukan. Berkat sokongan rakan sepasukan, saya berjaya menjaringkan gol penting perlawanan.

“Sebelum perlawanan, saya sudah tak sabar untuk beraksi kerana tak pernah menjulang sebarang piala sebelum ini, alangkah indahnya jika keluarga saya ada bersama saya meraikan saat gemilang ini,” katanya.

Pemain kelahiran Argentina tersebut memulakan kariernya bersama kelab negara itu, Newell’s Old Boys sebelum berhijrah ke Boca Juniors seterusnya berhijrah menyertai kelab Itali, Udinese.

Forestieri kemudiannya menyertai kelab Divisyen 1 England, Watford dan membantu pasukan melonjak ke Liga Perdana Inggeris sebelum kembali menyertai seterusnya ‘dipinang’ oleh juara liga lapan kali, JDT.

Menurut Forestieri, kemenangan tersebut memberinya motivasi untuk terus membantu pasukan memenangi piala yang dipertandingkan pada musim ini.

Jelasnya, masih ada ruang buat dirinya bagi menambah baik rentak permainan bagi mengharungi saingan liga yang mencabar yang cukup asing buat dirinya.

“Walaupun saya pernah beraksi di pentas yang lebih besar, saya tak menganggap diri cukup hebat, kerana ia adalah liga yang berbeza dengan cabaran yang berbeza. Saya perlu sesuaikan diri dengan cepat.

“Ini adalah permulaan yang hebat buat pasukan dan saya teruja untuk memberikan yang lebih baik daripada ini untuk JDT. Matlamat saya ke sini untuk menang lebih banyak piala,” ujarnya.

Dia turut berharap gandingan bersama Bergson Da Silva dapat diperkemaskan lagi bagi membentuk jentera serangan yang ditakuti lawan.

“Bola sepak adalah passion saya, hati saya mudah tersentuh apabila berjaya mencapai sasaran ini (menjulang Piala),” katanya yang bertekad untuk menghadiahkan lebih banyak kejuaraan bersama pasukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya