LONDON: Diogo Jota belum diketepikan sepenuhnya oleh Liverpool daripada final Piala Liga menentang Chelsea esok, namun peluangnya untuk diturunkan dalam aksi di Wembley itu juga kelihatan kurang bagus.
Sehingga semalam, bintang Portugal itu belum sembuh daripada kecederaan buku lali yang dialami ketika menentang Inter Milan pada Liga Juara-Juara di San Siro, minggu lalu.
Jika Jota diketepikan, ia tamparan hebat buat Liverpool yang perlu menggandingkan duo berbisa, Mohamed Salah dan Sadio Mane bersama Luis Diaz selepas Roberto Firmino sah tidak boleh beraksi.
“Jota belum diketepikan sepenuhnya tetapi untuk memastikan dia cergas dan boleh bermain menentang Chelsea satu cabaran hebat,” kata penolong pengurus Liverpool, Pepijn Lijnders.
Keadaan sebenar Firmino yang mengalami masalah otot pula akan diketahui dalam masa dua hari lagi, namun dia tidak boleh beraksi esok.
“Bobby (Firmino) kami perlu berjumpa lagi dua hari dari sekarang. Dia berusaha keras tetapi tidak dapat turun pada perlawanan akhir,” kata Lijnders.
Beraksi dalam final Piala Liga ke-13 dan memburu kejuaraan kesembilan, Reds juga meletakkan harapan tinggi kepada bintang baharunya, Diaz yang tiba dari Porto bulan lalu untuk mengisi kekosongan Firmino dan Jota.
Pemain sayap itu sudah meledak gol pertamanya bersama Liverpool ketika menentang Norwich City minggu lalu, malah mencipta umpanan dalam aksi pertamanya pada saingan Piala FA.
KELLEHER GANTI ALISSON
Liverpool juga mengesahkan Caoimhin Kelleher akan mengisi posisi penjaga gol utama, mengetepikan Alisson Becker.
Tiada kejutan di benteng dengan Trent Alexander-Arnold, Joel Matip, Virgil Van Dijk dan Andrew Robertson akan membentuk gandingan bagi menghalang trio serangan Kai Havertz, Mason Mount dan Christian Pulisic.
TUCHEL LANCAR SERANGAN PSIKOLOGI
Bintang Maghribi, Hakim Ziyech yang terkenal dengan julukan The Wizard juga mampu membawa perbezaan buat Blues.
Tidak mustahil, Romelu Lukaku boleh menjadi pilihan Tuchel pada saat akhir atau sebagai gantian.
Biarpun Chelsea masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Dunia Kelab, malah memegang rekod enam kemenangan berturut-turut (semua perlawanan), Thomas Tuchel tetap memilih Liverpool sebagai pilihan untuk memenangi final Piala Liga .
Kata Tuchel, kemenangan 6-0 ke atas Leeds United dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris, Khamis lalu menyerlahkan kualiti Liverpool.
Katanya, Blues akan turun di Wembley sebagai underdog dan anak-anak buah Jurgen Klopp adalah pilihan untuk muncul juara.
“Saya tidak berapa pasti (peluang menang) tapi saya rasa mereka ada peluang 51 hingga 55 peratus. Liverpool adalah pilihan berdasarkan prestasi semasa,” kata Tuchel.
Kata pengendali dari Jerman itu, biarpun Chelsea sendiri meraih keputusan baik, terutama pada aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu dengan menewaskan Lille 2-0, situasi tidak sama.
“Kami adalah pasukan pilihan ketika berdepan Lille kerana turun sebagai juara bertahan dan gelaran underdog tidak boleh diterima.
“Berdepan Liverpool, kami perlu percaya diri dan menggunakan pengalaman untuk menangani lawan yang berada di prestasi terbaik. Dua aksi terakhir berakhir seri, jadi keyakinan kedua-dua pasukan hampir sama,” katanya. – AGENSI