ABU DHABI: Kejayaan menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA adalah hadiah terindah buat pemilik Chelsea, Roman Abramovich.
Juara Eropah itu merangkul kejuaraan tersebut buat kali pertama selepas menumpaskan gergasi Amerika Selatan, Palmeiras 2-1 pada masa tambahan awal pagi tadi.
Piala Kelab Dunia satu-satunya trofi yang tidak pernah dimenangi Chelsea sejak dibeli oleh jutawan Rusia itu.
Sepakan penalti yang disempurnakan Kai Havertz di penghujung masa tambahan membolehkan Blues memenangi trofi utama ke-18 sejak Abramovich membeli kelab pada 2003.
Kejuaraan lain yang sudah dimenangi adalah lima trofi Liga Perdana Inggeris, dua Liga Juara-Juara, lima Piala FA, tiga Piala Liga, dua Piala Europa dan kini Piala Dunia Kelab FIFA.
Mereka juga mara ke final Piala Liga musim ini dan masih bersaing dalam Liga Juara-Juara, namun gelaran Liga Perdana tampak masih jauh buat pasukan itu.
“Ketika saya mengucapkan tahniah kepadanya, dia turut mengucapkan tahniah kepada kami.
“Saya kata, kemenangan ini untuk kamu. Ini kelab kamu dan ia adalah usaha serta minat kamu untuk merealisasikan perkara mustahil ini.
“Kami gembira menjadi sebahagian daripadanya,” kata pengendali Chelsea, Thomas Tuchel kepada pemberita apabila ditanya apa yang dikatakan kepada Abramovich selepas tamat perlawanan.
Tuchel hadir lewat untuk membimbing pasukan di Abu Dhabi selepas terlepas separuh akhir menentang Al-Hilal kerana positif Covid-19. – AGENSI