IPOH: Perak mendesak Majlis Sukan Negara (MSN) segera membuat ketetapan mengenai penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2022.
Ini kerana sehingga kini MSN belum menetapkan tarikh pertandingan serta jumlah acara yang akan dipertandingkan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, setakat ini MSN yang akan menjadi tuan rumah sukan terbesar dwi tahunan itu belum membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh serta jumlah sukan yang akan dipertandingkan.
“Saya mendapat maklumat MSN mencadangkan untuk mempertandingkan 21 jenis sukan sahaja iaitu 16 jenis sukan teras dan lima jenis sukan pilihan.
“Jika dibandingkan Sukma 2020 yang telah dipersetujui semua pihak, 31 jenis sukan ada. Ini bermakna 10 sukan pilihan bakal digugurkan daripada Sukma 2022 ini.
“Adakah cadangan ini wajar? Hampir lima tahun persiapan dibuat untuk 31 jenis sukan dan itulah ‘akadnya’ tetapi pada saat akhir ingin digugurkan,” katanya kepada pemberita di Wisma Majlis Sukan Negeri Perak semalam.
Menurut Khairul Shahril, agak malang bagi semua terbabit iaitu atlet, jurulatih, ibu bapa dan pegawai yang telah membuat pengorbanan besar selama ini.
Menurutnya, atlet-atlet giat menjalani latihan dan sanggup berjauhan dari keluarga.
“Hampir empat hingga ke lima bulan mereka tidak keluar dari penginapan yang disediakan Majlis Sukan Negeri Perak .
“Jurulatih pula sanggup meninggalkan anak dan isteri bagi bersama-sama atlet menjalani latihan.
“Sewajarnya perkara ini perlu diteliti oleh pengurusan sukan agar mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya, ” katanya.
Shahril berkata, Perak yang mengadakan Sukma Ke-18 pada tahun 2018 bersedia menjadi tuan rumah beberapa acara jika gelanggang menjadi masalah. – UTUSAN ONLINE