KUALA LUMPUR: Perak Bison memulakan aksi pusingan kedua Liga Premier dengan langkah kanan apabila tidak berdepan masalah menundukkan Selangor Pistons menerusi kemenangan straight set pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa dekat sini, sebentar tadi.
Anak-anak buah Suhairi Abd Aziz itu masih mampu melakar kemenangan dalam set pertama 21-18, sekalipun merehatkan seketika tekong utama, Meor Zulfikar Mat Amin dan menyenaraikan Muhammad Haziq Mat Zaki ke dalam regu utama.
Kelibat kapten Perak Bison, Meor hanya kelihatan pada hujung set pertama dan kemasukannya berjaya menambah sengat dalam persembahan pasukan utara tanah air itu.
Dalam aksi set kedua, Perak yang terus mengekalkan kapten mereka itu mudah meraih kemenangan 21-12 untuk menutup perlawanan yang berlangsung tidak sampai sejam. – UTUSAN ONLINE