Penang FC dapat suntikan dua bas baharu - Utusan Malaysia

Penang FC dapat suntikan dua bas baharu

PENYOKONG bergambar bersama bas baharu yang akan digunakan Penang FC dalam perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung di luar Pulau Pinang. - IHSAN PENANG FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Bagi me­nyemarakkan sokongan ­terhadap skuad bola sepak Pe­nang FC, syarikat bas persiaran TRA Holidays Sdn. Bhd. (TRA Holidays) menaja dua buah bas mereka bagi kegunaan Harimau Kumbang sepanjang musim ini.

Pengurus Eksekutif TRA Xpress iaitu anak syarikat kepada TRA Holidays, Nur Safwan Md. Salleh berkata, salah satu daripada bas tersebut iaitu jenis dua tingkat yang dicat dengan logo pasukan dan akan digunakan oleh skuad Liga Super Penang FC untuk perlawanan di luar Pulau Pinang.

Katanya, sebuah lagi bas persiaran biasa yang turut dicat de­ngan logo Penang FC pula akan digunakan oleh skuad Piala Belia dan Piala Presiden Pulau Pinang sebagai pengangkutan rasmi.

ANTARA bas yang akan digunakan skuad Penang FC untuk perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung di luar Pulau Pinang musim ini.

“Setiap bas ini mengambil masa hingga dua minggu untuk disiapkan (dicat) dan buat masa ini, bas dua tingkat (untuk kegunaan skuad Liga Super Penang FC) masih dalam proses untuk disiapkan.

“Kami berharap penajaan ini secara tidak langsung akan menyemarakkan lagi sokongan terhadap skuad Penang FC sepanjang musim ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nur Safwan memberitahu, pihaknya turut menyediakan bas-bas persiaran untuk disewa oleh peminat skuad Harimau Kumbang yang ingin turut serta dalam memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka itu pada harga istimewa di mana-mana lokasi pertandingan khususnya luar di Pulau Pinang.

“Ketika ini, kami memiliki 13 bas termasuk tiga bas ekspres dan semua bas ini boleh disewa bila-bila masa jika ada kekoso­ngan,” katanya yang membe­ritahu, mereka mula menaja pasukan sejak tiga tahun lalu.

Nur Safwan juga menjangkakan sekurang-kurangnya enam bas persiaran akan disewa bagi membawa penyokong Penang FC ke Johor berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi sulung Liga Super, Jumaat ini.

Seorang penyokong Penang FC, Kenneth Chew, 56, berharap kemudahan pengangkutan itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain dan peminat.

“Saya lihat sokongan terhadap Penang FC untuk musim baharu ini juga agak luar biasa dan pengangkutan rasmi ini pastinya akan menjadikan ia lebih menarik,” katanya.

Seorang lagi penyokong setia Harimau Kumbang, Mohamad Kasim Ali, 58, turut sependapat dengan Chew dan berharap penajaan bas itu dapat melonjakkan semangat Penang FC sepanjang musim ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya