PETALING JAYA: Selepas dua tahun tidak dapat menonton aksi MotoGP di Malaysia, peminat permotoran tempatan akhirnya melepaskan kerinduan apabila dibenarkan memasuki di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Biarpun tidak menyaksikan perlumbaan, namun mereka masih dapat mendengar deruman motosikal berkuasa tinggi itu dalam sesi ujian rasmi dua hari yang bermula semalam.
Ia adalah acara sukan antarabangsa pertama diadakan di negara ini ekoran penularan wabak Covid-19.
Ujian tersebut hanya dibenarkan kepada penonton yang mempunyai dua dos vaksinasi lengkap dan boleh disaksikan di tempat duduk utama secara percuma.
Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo dan pelumba Tech3 KTM Factory Racing, Remy Gardner antara pelumba yang melakukan ujian di SIC pada hari ini.
Selain Malaysia, ujian rasmi itu juga berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia dari 11 hingga 13 Februari sebelum Ujian Rasmi Moto2 dan Moto3 berlangsung di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal dari 19 hingga 21 Februari.
Pusingan pertama kempen 2022 Kejuaraan Motorsikal Dunia membuka tirai dari 4 hingga 6 Mac di Litar Antarabangsa Losail dan kembali di Mandalika untuk pusingan kedua bermula 18 hingga 20 Mac.