PETALING JAYA: Malaysia kehilangan khidmat seorang pemain apabila membuka kempen Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 23 (B-23), Selasa depan susulan jangkitan Covid-19 sehari selepas tiba di Phnom Penh, Kemboja.
Pengendali skuad Malaysia B-23, Brad Maloney berkata, berita itu sesuatu yang malang buat pasukan negara tetapi tidak akan mematahkan semangat mereka untuk menghadapi kejohanan.
“Sejurus tiba, pasukan menjalani ujian calitan seperti ditetapkan protokol dan seorang pemain kita disahkan positif Covid-19 menerusi ujian yang dijalankan pagi tadi.
“Pasukan perubatan sudah mengendalikan perkara ini dan kita akan terus mematuhi protokol yang ditetapkan. Pemain itu dibawa ke kemudahan perubatan untuk menjalani pengasingan dan dia akan kekal di sana,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Malaysia hanya akan beraksi dalam dua perlawanan Kumpulan B selepas juara bertahan, Indonesia menarik diri daripada kejohanan susulan tujuh pemain dan seorang pegawai mereka dijangkiti Covid-19.
Pasukan negara akan memulakan kempen dengan menentang Myanmar pada Selasa ini, diikuti Laos pada Jumaat. – UTUSAN ONLINE