PETALING JAYA: Peluang skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara mara lebih jauh dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-23, dilihat lebih cerah selepas musuh tradisi Indonesia mengumumkan penarikan diri kerana Covid-19.
Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) kelmarin mengesahkan penarikan diri disebabkan tujuh daripada 29 pemain yang dipilih ke pertandingan itu positif Covid-19.
Empat lagi yang dikategorikan turut sebagai disyaki dijangkiti Covid-19, manakala tiga pemain cedera.
Situasi itu mendorong jurulatih Shin Tae-yong meluahkan masalah yang dihadapi dan PSSI mengambil keputusan untuk menarik diri.
Bermakna, tanpa Indonesia kumpulan B kini hanya ada tiga pasukan iaitu Malaysia B-23, Myanmar dan Laos, di mana saingan akan bermula pada 14 hingga 26 Februari ini.
Peluang itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh skuad kendalian Brad Maloney untuk menjadi juara kumpulan dan layak ke separuh akhir.
Skuad negara membawa 28 pemain dan telah terbang ke Phnom Penh, Kemboja, semalam iaitu sehari lebih awal daripada yang dijadualkan.
“Saya rasa pemain telah melakukan dengan baik walaupun persiapan hanya dibuat dalam masa singkat.
“Kami membawa 28 pemain kesemuanya. Ini adalah peluang untuk pemain muda mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa dan memberi masa kepada mereka yang tidak dapat banyak peluang beraksi sebelum ini.
“Kami ada kira-kira lapan atau sembilan pemain yang bersama pasukan pada kejohanan lalu dan tidak mendapat minit permainan mencukupi,” kata Maloney.
Skuad B-23 kebangsaan akan menempuhi dua perlawanan kumpulan masing-masing menentang Myanmar pada 15 Februari dan Laos (18 Februari) di Stadium Prince.
Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 24 Februari dan perlawanan akhir dijadual pada 26 Februari.