LONDON: Everton memberi peluang kepada Dele Alli dan Donny van de Beek untuk ‘menyelamatkan’ karier yang hampir tenggelam bersama kelab lama masing-masing apabila mendapatkan khidmat kedua-dua pemain pada hari terakhir jendela perpindahan Januari.
Bekas kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang juga berpisah dengan kelab lamanya demi kebaikan bersama pada hari terakhir untuk menyertai Barcelona.
Alli berkata, dia mahu merasai semula keseronokan bermain bola sepak selepas melengkapkan perpindahan bersama Everton yang kini dibimbing Frank Lampard.
Bintang tengah England itu menandatangani kontrak dua tahun setengah di Goodison Park, namun nilai perpindahannya tidak didedahkan. Media Britain menjangkakan ia akan mencecah 40 juta pound (RM226 juta) tetapi tiada mana-mana pihak mengesahkan perkara itu.
— Dele (@dele_official) February 1, 2022
“Saya sudah beberapa kali berbual dengannya (Lampard) dan dia antara pemain yang saya kagumi ketika zaman kegemilangannya.
“Mendapat peluang bekerja dengannya sangat mengujakan dan ssaya pasti kami akan melakukan perkara yang hebat bersama,” kata Alli kepada Sky Sports.
Alli, 25, antara tonggak England dalam Piala Dunia 2018 dan menjadi watak penting di Tottenham sejak 2015, namun dia bergelut untuk mendapat tempat dalam skuad utama Spurs dalam beberapa musim kebelakangan.
Van de Beek menjadi pemain ke-10 menyertai Everton pada jendela perpindahan Januari selepas dipinjamkan oleh Manchester United sehingga hujung musim.
Tiba di Old Trafford pada September 2020 dengan yuran perpindahan 35 juta pound (RM198 juta), dia dianggap antara pemain paling berbakat di Eropah. Bintang Belanda itu bagaimanapun bergelut untuk menyerlah di Manchester.
Sementara itu, Aubameyang, 32, menyertai Barcelona sebagai ejen bebas, malah sudah mula menyertai latihan bersama kelab Sepanyol itu sejak tiba pada Isnin lalu.
“Pierre-Emerick Aubameyang meninggalkan kelab menerusi persetujuan bersama,” kata Arsenal. – AGENSI