BAYAN BARU: Negeri Sembilan Antlers merampas kedudukan keempat Liga Premier daripada Putrajaya Cyborg apabila menumpaskan pendatang baharu liga utama itu 2-0 dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Spice Arena, Bayan Baru di sini hari ini.
Set pertama menyaksikan Putrajaya Cyborg memberi tekanan awal kepada pasukan rusa apabila mendahului 10-8 meskipun sering berbalas mata setelah 14 minit memulakan perlawanan.
Negeri Sembilan Antlers bagaimanapun cuba memperkemas rentak permainan sehingga berjaya mengikat kedudukan mata 15-15.
Putrajaya Cyborg bagaimanapun cuba merungkai ikatan seri dengan memperkemas pertahanan dan berjaya melangkaui 18-17 biarpun kedua-dua pasukan bersilih ganti memperoleh mata.
Negeri Sembilan Antlers bangkit memenangi set pertama dengan keputusan 21-18.
Set kedua pula menyaksikan Negeri Sembilan Antlers mendominasi gelanggang apabila berjaya memperoleh mata 8-4.
Meskipun ketinggalan beberapa mata, Putrajaya Cyborg berhempas pulas untuk merapatkan jurang namun, dihalang oleh keadaan pertahanan pasukan lawan yang dilihat nyata lebih utuh apabila ketinggalan 6-13.
Asakan demi asakan diterima Putrajaya Cyborg apabila Negeri Sembilan Antlers terus mendahului mata 16-8.
Di akhir set kedua menyaksikan pasukan Negeri Sembilan Antlers menutup harapan Putrajaya Cyborg untuk memenangi set tersebut dengan kutipan mata 21-13. – UTUSAN ONLINE