PETALING JAYA: Selepas mengharungi 2021 yang cemerlang dan meraih pelbagai habuan lumayan atas kejayaan memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou berkata, sekarang masanya untuk ‘membayar balik’ semua hutang budi.
Bagi atlet kebangsaan lain seperti Wendy Ng (terjun) dan Ho Ying (pingpong), memandangkan 2022 tahun yang amat sibuk dengan Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel, mereka mengharapkan Tahun Harimau akan membawa tuah.
Jaguh motosikal negara, Yulina Tan Jad pula berharap tuah Tahun Harimau akan membawa kemakmuran dengan pandemik Covid-19 ‘dinyah’ keluar dari bumi Malaysia.
“Saya menyambut Tahun Baharu Cina di rumah saudara di Tapah, bagaimanapun saya hanya cuti dua, tiga hari kerana akhir Februari saya perlu pergi ke Sepanyol untuk menyertai pertandingan selama dua minggu (dua kejohanan).
“Pada sambutan kali ini, saya terima banyak jemputan makan daripada rakan-rakan, saudara mara dan orang-orang yang banyak membantu saya sepanjang perjuangan untuk Sukan Paralimpik.
“Kali ini saya mahu ambil kesempatan untuk belanja mereka makan bagi membalas segala sokongan mereka selama ini dan sebagai tanda terima kasih,” kata Liek Hou.
Bagi penerjun negara, Wendy yang dijangka menjadi sandaran utama Malaysia di Sukan SEA, Asia dan Komanwel, biarpun teruja untuk menyambut perayaan kali ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membataskan sambutan tahun lalu, namun dia enggan terlalu seronok.
“Gong Xi Fa Chai saya ucapkan kepada semua. Saya harap semua orang sihat, gembira dan bahagia. Selamat bercuti kepada semua juga tetapi jangan lupa jaga SOP (prosedur operasi standard),” kata atlet kelahiran Kuala Lumpur itu.
Bagi jaguh pingpong, Ho Ying dia mengharapkan ‘tuah’ Tahun Harimau untuk merangkul lebih banyak kejayaan.
“Saya ingin mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat Malaysia yang menyambut, semoga tahun ini membawa lebih banyak kejayaan, kegembiraan dan kesihatan yang baik kepada kita semua. Gong Xi Fa Chai,” katanya.
“Gong Xi Fa Chai dan selamat bercuti semua. Semoga Malaysia kembali bebas daripada Covid-19 supaya kita semua dapat jalani kehidupan seperti sebelum pandemik,” kata Yulina pula.
Sementara itu, bagi pemain badminton profesional, Cheam June Wei sambutan Tahun Baharu Cina kali ini adalah tentang pengorbanan, di mana dia perlu menyambutnya di Dubai demi memenuhi tuntutan latihan.
June Wei, 25, berkata, peluang berlatih bersama jaguh No. 1 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark tidak akan disia-siakan biarpun terpaksa mengorbankan Tahun Baharu Cina.