PARIS: Keadaan tidak berjalan seperti diharapkan oleh Lionel Messi sejak berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG) dari Barcelona tahun lalu. Ini kerana dia dituduh sebagai beban buat gergasi bola sepak Perancis itu.
Bintang Argentina tersebut hanya menjaringkan dua gol dalam 16 penampilan domestik sejak tiba di ibu kota Perancis. Malah dia berdepan satu lagi malam mengecewakan ketika PSG tewas 3-1 kepada Nantes kelmarin.
Pada November lalu, Messi merangkul gelaran Ballon d’Or ketujuh untuk memecah rekod anugerah. Tetapi penyerang berusia 34 tahun itu dikatakan tidak gembira di Paris kerana gagal menyesuaikan diri dengan bandar serta kelab atas pelbagai faktor.
Penampilan Messi dikritik hebat oleh media Perancis, yang mana akhbar harian L’Equipe meletakkan prestasinya sebagai empat daripada 10.
Kemarahan
Rakan baik Messi di Argentina, Sergio Aguero meluahkan kemarahan terhadap layanan yang diberikan kepada pemain terbaik dunia itu oleh media Perancis.
Dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu pula, PSG memerlukan jaringan Kylian Mbappe pada waktu kecederaan untuk menewaskan Real Madrid 1-0. Messi gagal menyempurnakan penalti selepas tendangannya diselamatkan Thibaut Courtois.
Bintang Argentina itu kini mengharungi lapan perlawanan tanpa menjaringkan gol atau melakukan umpanan ke atas Real Madrid.
Bekas pemain sayap antarabangsa Perancis dan PSG, Jerome Rothen antara yang mengecam Messi dan menganggapnya sebagai beban kepada kelab.
“Dia adalah beban untuk kelab. Bulan-bulan pertamanya tidak begitu baik dan hubungan antara Lionel Messi dan PSG masih jauh dari kejayaan. Perpindahan ini adalah idea yang tidak bagus.
“Dia adalah pemain terbaik, mungkin dalam semua generasi bola sepak, namun saya muak mendengar orang mengatakan anda tidak boleh mengkritik Messi.
“Jika anda tidak memenangi perlawanan itu, anda mempunyai kekecewaan besar, malah Messi terlepas sepakan penalti (menentang Real Madrid).
“Pemain seperti Messi, dengan status yang dimilikinya, adalah tragis untuk dia terlepas sepakan penalti, itulah realitinya, walaupun ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” kata Rothen. – AGENSI