BEIJING: Eileen Gu dan Nathan Chen masing-masing memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, namun layanan yang diterima kedua-dua atlet berketurunan China itu amat berbeza.
Kedua-dua mereka berlatih di Amerika Syarikat (AS) dan tidak jauh dari segi usia, namun memilih laluan berbeza untuk ke temasya Beijing 2022.
Eileen, 18, atlet ski gaya bebas memilih untuk beraksi buat China, manakala Nathan Chen, 22, bintang figure skating dunia bertanding di bawah bendera AS.
Rakyat dan media China mengangkat Eileen sebagai wira.
Dia yang lebih dikenali sebagai Gu Ailing di China dan dilahirkan di San Francisco, California disanjung, memenangi hati peminat tempatan, meraih kemasyhuran serta kekayaan.
Sebelum Eileen memenangi pingat emas di Sukan Olimpik 2022, kejayaan meraih dua emas Kejohanan Dunia dan pelbagai kejuaraan utama di bawah bendera China sudah membolehkannya menjadi wajah pelbagai jenama dari sukan, fesyen sehingga perbankan.
Louis Vuitton, Tiffany & Co. dan jam Swiss IWC Schaffhausen antara yang menjadikan dia duta, malah Eileen menjadi ‘wajah’ sekurang-kurangnya 23 jenama untuk membolehkannya menikmati pendapatan AS$31.4 juta (RM132 juta) tahun lalu menerusi tajaan.
Nathan sebaliknya dicaci di media sosial, dituduh sebagai ‘memalukan’ China dan negara angkatnya, malah dianggap pengkhianat kerana enggan beraksi di bawah bendera China.
Pernah dianggap duta kebudayaan yang menjadi jambatan hubungan AS-China, anak pasangan Zhidong Chen dan Hetty Kwan yang berasal dari China dan dilahirkan di Salt Lake City itu bagaimanapun dicaci sejurus kemenangan di Beijing.
Selepas mengejutkan juara 2018 dan 2014, Yuzuru Hanyu dari Jepun untuk meraih emas Olimpik, tidak banyak pujian yang diberikan kepadanya kecuali daripada media AS.
“Bersimpati dan kagum dengan Yuzuru. Dia menunjukkan lebih kesungguhan, tabah dan berani,” tulis seorang pengulas media China.
“Persembahan (Hanyu) mempunyai keindahan dan kekuatan, itu balet di atas ais.
“Bagaimana persembahan dia (Nathan)? Macam beruk,” tulis peminat China di media sosial. – AGENSI