KUALA LUMPUR: Melaka Titans mengiringi KPT-Masum Knights ke saingan Liga Premier musim depan selepas mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Divisyen 1, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 sebentar tadi.
Kemenangan 2-0 ke atas Kedah Eagles dalam separuh akhir di Stadium Titiwangsa itu meletakkan mereka sebagai dua pasukan terbaik Divisyen 1 musim ini, sekali gus menyambar dua slot liga utama musim depan.
Skuad bimbingan Riduan Ramli itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pencabar dari utara tanah air tersebut menerusi kemenangan 21-17, 21-9.
Riduan ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perlawanan berkata, aksi baik yang dipamerkan anak-anak buahnya, hari ini, membolehkan Melaka melangkah ke perlawanan akhir.
“Hari ini kita tebus kekalahan kami dengan KPT-Masum, tempoh hari. Para pemain berjaya mengekalkan momentum untuk memastikan kemenangan kami.
“Semangat mereka tinggi dan momentum juga cantik,” katanya.
Menurutnya, pengumpan juga mampu menyelamatkan bola hasil serangan Kedah dan ia amat membantu pasukan bermain baik, hari ini.
Mengulas mengenai pertembungan dengan KPT-Masum, Riduan menjanjikan satu perlawanan sengit bertemu juara Kumpulan A itu.
“Hari itu kami tewas kepada mereka dalam saingan peringkat kumpulan. Inilah peluang kami untuk membuktikan kemampuan dan kekuatan sebenar pasukan pada final, esok.
“Masa perlawanan peringkat kumpulan, anak-anak buah keletihan, mereka perlu bermain dua perlawanan, manakala KPT-Masum pula masih cergas kerana hanya beraksi dalam satu pertemuan.
“Perlawanan esok baru betul-betul adil kerana kami turun dalam keadaan terbaik,” ujarnya.
Jelas beliau, melayakkan diri ke Liga Premier, musim depan dan beraksi pada Piala Juara-Juara telah berjaya direalisasikan Melaka dan esok, gelaran juara mahu diburu skuad bimbingannya. – UTUSAN ONLINE