PETALING JAYA: Melaka United (MU) bakal menampilkan jentera serangan ampuh pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022 apabila membawa masuk penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dalam rekrut terbaharu mereka.
Norshahrul, 35, atau lebih mesra disapa Mat Yo diperkenalkan oleh skuad Hang Tuah semalam selepas semusim menyarung jersi Sarawak United.
Mat Yo yang pernah menyarung jersi Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang serta BG Pathum United (Liga Thailand) akan membentuk gandingan serangan ampuh bersama penjaring terbanyak musim lalu, Ifedayo Olusegun dan Sony Norde.
Melaka United FC dengan ingin mengumumkan pemain berpengalaman, Nurshahrul Idlan Talaha sebagai pemain terbaharu yang sah menyertai Skuad Hang Tuah, musim ini.
Selamat menyertai kami di Melaka United Mat Yo.#Welcome Mat Yo#NewSigning#MelakaUnitedFC2022#AllUniteforMelaka pic.twitter.com/vKDUSSqwOV
— Melaka United FC (@MelakaUnitedFC) February 1, 2022
“Beliau juga turut membuat lebih 80 penampilan bersama skuad kebangsaan dengan 14 gol di peringkat antarabangsa.
“Semoga dengan pengalaman yang dimiliki Norshahrul bakal membantu skuad Hang Tuah dalam memberikan cabaran dalam semua saingan Liga Malaysia musim ini,” kata Melaka United dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC), Datuk Justin Lim turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Cina di seluruh negara khususnya kepada penyokong skuad Hijau Putih.
“Semoga tahun Harimau membawa kekayaan dan kesihatan yang baik kepada semua. Sokongan berterusan anda kepada MUFC diyakini akan membawa lebih banyak kejayaan kepada kelab,” katanya. – UTUSAN ONLINE