PARIS: Masa depan Rusia dalam Piala Dunia kini terancam selepas keputusan badan bola sepak dunia, FIFA membenarkan mereka bermain di gelanggang berkecuali ditolak beberapa negara yang menyifatkan ia ‘tidak boleh diterima’, sekali gus menyebabkan proses kelayakan kelam kabut.
FIFA memberi amaran bahawa mereka sedang mempertimbangkan sekatan terhadap Rusia sebagai hukuman kerana pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.
Bagaimanapun selepas tiga hari berdiam diri, FIFA mengarahkan Rusia bermain di gelanggang berkecuali dengan bendera dan lagu kebangsaan mereka tidak dibenarkan.
Pasukan Rusia akan dikenali sebagai Persatuan Bola sepak Rusia (RFU).
Menurut FIFA, dialog bersama organisasi sukan lain akan diadakan bagi menentukan hukumaan tambahan, termasuk ‘potensi disingkirkan daripada kejohanan’ akan diteruskan.
Bagaimanapun hanya beberapa minit selepas pengumuman itu, Persatuan Bola Sepak Poland (PZPN) menegaskan mereka tidak akan menentang Rusia dalam playoff Piala Dunia tanpa mengira lokasi.
“Keputusan FIFA hari ini langsung tidak boleh diterima.
“Kami tidak berminat bertanding dalam perlawanan ini. Keputusan kami kekal: Skuad Kebangsaan Poland TIDAK AKAN BERMAIN menentang Rusia, tidak kira apa nama pasukan itu,” kata Presiden PZPN, Cezary Kulesza.
Poland dijadualkan menentang Rusia di Moscow pada 24 Mac.
Sekiranya Rusia menang, mereka dijadualkan menanti pemenang antara Republik Czech dan Sweden pada 29 Mac. – AFP