Mane pertaruhkan nyawa mengambil sepakan penalti - Utusan Malaysia

Mane pertaruhkan nyawa mengambil sepakan penalti

SADIO Mane melihat trofi Piala Negara-Negara Afrika yang dimenanginya bersama Senegal kelmarin selepas menumpaskan Mesir di Stadium Olembe, Yaounde. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMEROON: Legenda Nigeria, Jay-Jay Okocha mendedahkan, Sadio Mane ‘mempertaruhkan nyawanya’ apabila melangkah untuk mengambil sepakan pe­nalti terakhir dalam final Piala Negara-Negara Afrika menewaskan Mesir kelmarin.

Bintang Liverpool itu gagal menyempurnakan pe­nalti pada minit ketujuh tetapi menewaskan penjaga gol Mesir, Mohamed Abou Gabal dalam penentuan sepakan penalti yang berakhir Senegal menang 4-2.

Sepakannya memastikan negara itu merangkul kejuaraan Afrika pertama dalam sejarah selepas 60 tahun menanti.

Okocha menjelaskan, sejarah hitam mungkin akan terpahat dalam hidup Mane jika pe­nyerang berusia 29 tahun ini sekali lagi gagal menyempurnakan sepakan penalti.

SADIO Mane (kanan) dan Cheikhou Kouyate memberi penghormatan kepada penyokong Senegal ketika diarak menaiki bas tidak berbumbung di Leopold Sedar Senghor, Senegal semalam sekembalinya daripada menjuarai Piala Negara-Negara Afrika di Cameroon. – AFP

“Bukan setiap pemain boleh bangkit semula untuk mengambil penalti itu.

“Kerana anda tahu di Afrika betapa bermusuhan peminat kami.

“Tahukah anda, dengan berbuat demikian, dia mempertaruhkan nyawanya, mempertaruhkan nyawa keluarganya, malah seluruh ahli di rumahnya.

“Tetapi dia dilahirkan untuk melakukan perkara itu, untuk bermain bola sepak, apa sahaja yang datang dengannya, dia bersedia menerima,” kata Okocha.

Sementara itu, Mane me­ngakui amat lega selepas berjaya menjaringkan gol penting itu.

“Saya dan penalti mempunyai sejarah panjang, terutama bersama pasukan kebangsaan.

“Begitupun, saya berusia 29 tahun dan ada banyak pengalaman dalam situasi ini. Saya tahu ia sukar tetapi saya tidak meragui diri sendiri.

“Sekalipun tidak menjadi juara, hidup mesti diteruskan tapi mujurlah Tuhan membantu kami muncul juara,” kata Mane. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya