YAOUNDE, Cameroon: Sadio Mane meledak satu gol dan mencipta satu umpanan untuk membantu Senegal meneruskan pemburuan Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) buat kali pertama selepas melangkah ke final kedua berturut-turut dengan mengecewakan Burkina Faso 3-1 awal pagi tadi.
Jaringan Abdou Diallo, Idrissa Gana Gueye dan Mane pada 20 minit terakhir permainan memastikan kemaraan Lions of Teranga ke perlawanan akhir buat kali ketiga selepas 2002 serta 2019.
Mereka kini akan menentang pemenang di antara juara tujuh kali, Mesir atau juara lima kali, Cameroon yang akan berentap dalam satu lagi separuh akhir, pagi esok. Final akan berlangsung pada Ahad.
“Kami meneruskan momentum. Bukan mudah untuk mara ke final kedua berturut-turut tetapi paling penting ialah kami berusaha memenangi setiap perlawanan, tanpa mengira siapa lawan kami,” kata Mane yang meledak satu gol dan mencipta satu gerakan dalam aksi di Stadium Ahmadou Ahidjo.
Diallo meletakkan Senegal di depan pada minit ke-20 sebelum Mane mengumpan bola untuk gol kedua yang disempurnakan Gueye. Dia kemudian menjaringkan gol ketiga selepas Blati Toure merapatkan jurang untuk Burkina Faso.
“Kami berdepan skuad Burkina yang cukup bagus dan memberikan banyak masalah. Kami sudah menjangkakan perlawanan pasti sukar dan ia memang betul.
“Begitupun kami kekal tenang dan mencipta banyak peluang. Saya rasa kami berhak menang malam ini,” kata bintang Liverpool itu yang kini mengumpul tiga gol dalam kejohanan kali ini.
Senegal, pasukan ranking tertinggi Afrika, tewas kepada Algeria pada final 2019 di Mesir. – AGENSI