MANCHESTER: Fred mendakwa Manchester United gagal membuat perancangan jangka panjang untuk memburu kecemerlangan. Malah pelantikan Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara disifatkan sebagai sesuatu yang ‘pelik’.
“Saya tahu dalam bola sepak amat penting untuk mendapat keputusan perlawanan yang baik, namun penting juga untuk mempunyai rancangan jangka masa panjang.
“Agak mengecewakan bagi kami kerana tidak mempunyai salah satu daripada itu.
“Buat masa ini semuanya hanya mengenai rancangan jangka masa pendek. Kami tidak tahu apa akan terjadi selepas musim ini berakhir.
“Saya cuma mahukan rancangan yang lebih tersusun dan lebih baik untuk kelab kami,” kata bintang tengah Brazil itu dalam wawancara bersama TNT Sports Brazil.
Sehingga kini, belum ada sebarang pengumuman mengenai kedudukan Rangnick sama ada akan meneruskan tugas sebagai pengurus atau berpindah setelah musim tamat.Kata Fred, apa pun langkah yang akan diambilnya, pihak pengurusan tertinggi kelab perlu menyelesaikan perkara itu agar mereka boleh menjadi pencabar kejuaraan utama.
Fred mendakwa, mereka sepatutnya menjuarai Liga Europa musim lalu, yang menyaksikan Red Devils tewas kepada Villarreal. Itu bermakna, United sudah mengharungi enam musim tanpa trofi.
“Setiap pemain yang datang ke kelab ini mahu menang. Sama juga dengan saya, Bruno (Fernandes), Alex (Telles), Cristiano (Ronaldo), (Jadon) Sancho dan yang lain-lain,” katanya.
United sudah pun terkeluar dari persaingan Piala FA dan Piala Liga musim ini, selain sukar untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Liga Juara-Juara adalah satu-satunya saingan yang masih terbuka untuk dikejar oleh anak-anak buah Rangnick. – AGENSI