MADRID: Krisis kecederaan, kesihatan dan penggantungan Atletico Madrid sepatutnya membantu Manchester United meraih keputusan positif dalam aksi pertama, pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara esok.
Selepas terkeluar dari saingan Piala FA dan Piala Liga, selain sudah melupakan gelaran Liga Perdana Inggeris, kejuaraan Eropah satu-satunya trofi yang boleh dikejar United musim ini.
Atletico akan beraksi tanpa Yannick Carrasco dan Felipe akibat pengantungan, manakala Daniel Wass and Matheus Cunha mengalami kecederaan lutut.
Thomas Lemar dan Benjamin Lecomte juga mungkin diketepikan kerana Covid-19, manakala kapten, Koke terlepas latihan semalam.
United pula bertandang ke Stadium Wanda Metropolitan dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Leeds United dan Brighton 2-0 dalam aksi terakhir.
Luis Suarez dan Joao Felix dijangka membentuk gandingan serangan Atletico, manakala Antoine Griezmann mungkin turun sebagai gantian.
United pula menagih pengalaman Cristiano Ronaldo untuk mengetuai serangan sambil disokong Anthony Elanga, Bruno Fernandes dan Jadon Sancho.
ATLETICO TIDAK KONSISTEN
Biarpun meraih suntikan semangat dengan membenam Osasuna 3-0 dalam aksi terakhir La Liga, namun Atletico tidak konsisten musim ini dan menghuni tangga kelima liga.
Atletico melepaskan 34 gol dalam 25 perlawanan liga, dan standard permainan anak-anak buah Diego Simeone amat mengejutkan.
Penjaga gol, Jan Oblak juga menjadi sasaran kecaman kerana prestasi buruk akhir-akhir ini.
Tindakan Simeone menukar taktikal kepada bertahan menyebabkan penyandang juara La Liga itu bagaikan hilang identiti.
Suarez, Feliz dan Griezmann menjadi harapan untuk memastikan pasukannya meraih keputusan baik di tempat sendiri.
DE GEA KEMBALI KE MADRID
Penjaga gol United, David de Gea kembali ke kelab yang pernah dinaungi sejak berusia 13 tahun.
Menyertai United dari Atletico pada 2011, bintang Sepanyol itu menegaskan, dia ‘seronok’ kembali ke Madrid, namun tidak lagi mempunyai sentimen.
“Saya suka dengan fakta saya dilahirkan di Madrid tetapi pada akhirnya, ia hanya sebuah bandar.
“Sudah tentu, saya akan pulang ke rumah lama, saya berdepan kelab yang telah memberi peluang kepada saya untuk menjadi pemain seperti hari ini. Begitupun, kami semua profesional dan ini adalah Liga Juara-Juara.
“Kami semua mahu bermain sebaik yang boleh dan memenangi perlawanan untuk pasukan,” kata De Gea. – AGENSI