MANCHESTER: Manchester United keciciran mata buat kali kedua dalam tempoh seminggu selepas diikat 1-1 oleh Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di sendiri, sebentar tadi.
Red Devils gagal menewaskan Burnley Rabu lalu, dan sekali lagi tidak mampu menutup perlawanan dengan kemenangan hari ini biarpun Jadon Sancho meletakkan mereka di depan pada minit ke-21.
Gol penyamaan Che Adams tiga minit selepas babak kedua bersambung menyebabkan United terlepas peluang untuk kembali ke kelompok empat teratas.
Adams dan Southampton meneruskan minggu cemerlang mereka selepas melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Tottenham, Rabu lalu.
Southampton dibelasah 9-0 ketika kedua-dua pasukan bertemu di Old Trafford Februari tahun lalu, ketika itu dua pemain The Saints dibuang padang.
Bagaimanapun kali ini, anak-anak buah Ralph Hasenhuttl memberi tentangan habis-habisan untuk menambah duka United yang belum pernah menang sejak menumpaskan West Ham 1-0, 22 Januari lalu.
West Ham yang menduduki tangga keempat dengan berkongsi 40 mata bersama United berpeluang menjarakkan kedudukan kepada dua mata jika menewaskan Leicester City esok. – AGENSI