LONDON: Manchester United akan menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tangga keempat dan menyambar slot terakhir ke Liga Juara-Juara musim depan, tegas legenda Red Devils, Rio Ferdinand.
Biarpun keputusan seri 1-1 dengan Burnley, Rabu lalu menyebabkan United jatuh ke tangga keenam liga dengan satu mata di belakang pasukan tempat keempat, West Ham, namun skuad bimbingan Ralf Rangnick memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Ferdinand percaya United mampu menumpaskan Southampton di Old Trafford dan menamatkan kempen dalam kelompok empat terbaik.
“Sentiasa ada harapan (buat United). Tiada calon yang benar-benar menyerlah atau konsisten untuk kedudukan keempat, semuanya masih terbuka. Tiada pasukan yang tidak tewas dalam 10 aksi terakhir mereka.
“Baik Arsenal, West Ham, Manchester United dan Tottenham terutamanya, mereka dituntut memberikan keputusan lebih konsisten. Semua pasukan ini mengekori satu sama lain dengan amat rapat.
“Saya rasa Manchester United akan sampai ke sana (Liga Juara-Juara). Mereka akan mendapat gol untuk memenangi jumlah perlawanan mencukupi bagi kekal di tangga empat teratas tapi saya tidak boleh terlalu yakin,” kata bekas pertahanan England itu.
Kesemua pengulas yang dijemput oleh BT Sport iaitu Ferdinand, Michael Owen dan Robbie Savage sependapat, Manchester City, Liverpool serta Chelsea akan mengungguli kelompok tiga teratas.
Bagaimanapun Owen menjangkakan Tottenham akan mengatasi United untuk melengkapkan kedudukan empat terbaik liga, sekali gus meraih tiket ke liga utama Eropah.
“Saya rasa mereka (United) bergelut untuk memberikan prestasi di tahap tertinggi, mereka tampak gentar memberi tekanan kepada lawan dan beraksi secara menyerang,” kata bekas legenda Liverpool dan United itu. – AGENSI