PETALING JAYA: Tidak adil untuk menyalahkan pemain semata-mata atas kegagalan Malaysia dalam Kejohanan Persekutuan Bola sepak ASEAN (AFF) Bawah 23 tahun (B-23). Ini kerana mereka sebenarnya ‘mangsa’ kepincangan sistem bola sepak negara.
Kelmarin, skuad bimbingan Brad Maloney tumpas 0-2 kepada Laos, iaitu kekalahan kedua kepada lawan sama selepas kalah 1-2, Jumaat lalu.
Bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) gagal menyediakan platform terbaik untuk pemain muda berkembang.
Bekas Ketua Jurulatih B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee pula percaya, akademi bola sepak yang wujud di Malaysia sudah mencukupi, malangnya jumlah perlawanan untuk pemain muda terlalu kurang.
Kata Kim Swee, dengan memiliki lebih banyak aksi kompetitif dalam negara, pemain akan mendapat pengalaman profesional, malah barisan kejurulatihan lebih mudah memilih kesebelasan utama.
“Saya rasa akademi yang ada memang mempunyai ramai pemain. Mereka cuma perlu diberi peluang beraksi dalam liga remaja. Liga yang mengikut peringkat umur supaya mereka tahu sejauh mana kemampuan dan prestasi di atas padang.
“Liga peringkat remaja kita tidak banyak. Di luar negara pemain belasan tahun akan bermain dalam 30 hingga 40 perlawanan sepanjang tahun.
“Kita perlu realistik kerana tidak semua pemain belasan tahun mampu bersaing dengan prestasi yang sama dalam skuad senior. Tetapi setidak-tidaknya liga remaja pentas awal untuk mempamer bakat,” kata Ketua Jurulatih Sabah itu kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Teong Kim berkata, bola sepak Malaysia tidak akan maju selagi sistem di peringkat remaja tidak diperbetulkan.
“Pembangunan seseorang pemain mesti melalui proses pembangunan muda yang bersistematik dan ini tidak ada di Malaysia,” katanya di Instagram. – UTUSAN