LIVERPOOL: Jurgen Klopp tidak terlalu teruja Liverpool berjaya merapatkan jurang mata dengan Manchester City, sebaliknya menjangkakan lawan akan kembali menjarakkan kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris kepada enam mata, hujung minggu ini.
City pernah menerajui liga dengan 14 mata, namun kemenangan 6-0 Reds ke atas Leeds United semalam membolehkan mereka menghambat juara bertahan itu kepada tiga mata ketika saingan berbaki 12 perlawanan.
Liverpool juga meledak lebih banyak gol berbanding City, namun skuad The Citizens mampu menjarakkan jurang jika menumpaskan Everton, Ahad ini.
“Secara jujur, kami beraksi bukan untuk mengejar Manchester City tetapi hanya mahu memenangi semua perlawanan.
“Pada hujung minggu ini, kami tiada aksi Liga Perdana kerana perlu bermain dalam final Piala Liga, jadi saya jangka City akan menjarakkan mata kepada enam.
“Saya tidak pasti sama ada perlawanan liga Liverpool yang seterusnya adalah selepas atau sebelum City turun sekali lagi, kalau mereka bermain dulu, maka jurang boleh melebar kepada sembilan mata.
“Sebab itu, kami tidak mahu mengejar lawan dan hanya memberi tumpuan kepada permainan sendiri,” kata Klopp.
Dalam aksi di Anfield semalam, dua jaringan Mohamed Salah dan Sadio Mane mengetuai amukan Reds, manakala dua lagi gol disempurnakan Joel Matip serta Virgil van Dijk.
Liverpool melakar kemenangan kesembilan berturut-turut dalam semua perlawanan, sementara Salah telah meledak 21 gol daripada 31 penampilan musim ini.
Selepas berdepan Chelsea, Reds akan menentang Norwich dalam saingan Piala FA, Khamis ini sebelum bertemu West Ham pada 6 Mac. – AGENSI