LIVERPOOL: Liverpool merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City kepada tiga mata di belakang. Ini selepas melakar kemenangan besar 6-0 ke atas Leeds United di Anfield hari ini.
Mohamed Salah dan Sadio Mane masing-masing meledak dua gol, sekali gus memberi tekanan kepada City dalam pemburuan gelaran ketika liga berbaki 12 perlawanan.
Salah yang menyempurnakan dua sepakan penalti kini meledak 27 gol dalam 31 penampilan. Dia juga mencipta umpanan buat Joel Matip bagi membantu Reds melakar sembilan kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir yang disempurnakan Mane menambah derita Leeds. Sebelum tonggak pertahanan, Virgil van Dijk menanduk gol keenam pada waktu kecederaan.
Selepas melepasi ujian terakhir Liga Perdana, tumpuan Liverpool kini beralih kepada pertemuan menentang Chelsea dalam final Piala Liga, Ahad ini.
“Saya fikir bagi orang di luar sana, adalah lebih baik ketinggalan dengan jurang tiga atau enam mata berbanding 20 atau 30 mata, jadi ia lebih mengujakan.
“Bagaimanapun kami perlu memenangi lebih banyak perlawanan menentang semua lawan yang sukar dan itu akan menjadi tugas yang berat. Kami akan mencubanya,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Tottenham gagal meneruskan momentum baik selepas mengejutkan Manchester City 3-2 minggu lalu apabila tumpas 0-1 kepada Burnley di laman sendiri.
Kekalahan itu bermakna, anak-anak buah Athony Conte semakin jauh daripada kelompok empat terbaik liga, yang memberikan tiket automatik ke Liga Juara-Juara musim depan. – AGENSI