PETALING JAYA: Ramai penyokong gerun apabila Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama pasukan No. 89 dunia, Bahrain pada Kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.
Bagaimanapun pengurus skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi percaya, pertemuan itu sebenarnya memberi kelebihan kepada pasukan negara kerana pernah berdepan Bahrain dalam aksi persahabatan sebelum ini.
Biarpun Malaysia kalah 0-2 dalam perlawanan 28 Mei tahun lalu itu, namun sekurang-kurangnya mereka mempunyai pengalaman dan memahami corak permainan lawan.
Selain Bahrain yang akan ditentang pada 11 Jun, Malaysia juga akan menentang pasukan ranking ke-134 dunia, Turkmenistan pada 8 Jun dan Bangladesh (186) pada 14 Jun. Semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Kelebihan kita diundi bersama Bahrain adalah, kita pernah bertemu mereka sebelum ini dalam perlawanan persahabatan, jadi kita lebih memahami permainan pasukan itu.
“Kita juga berharap barisan kejurulatihan yang baharu akan dapat membentuk strategi untuk menguasai perlawanan,” katanya.
Kata Yusoff, berdasarkan perbincangan bersama Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon, Malaysia perlu sekurang-kurangnya seri dengan Bahrain dan menewaskan Turkmenistan di peringkat kumpulan jika mahu layak ke peringkat berikutnya.
“Sudah tentu, dengan barisan kejurulatihan yang baharu, kita amat mengharapkan gandingan berkesan daripada mereka untuk menghasilkan sebuah pasukan terbaik dalam kelayakan itu nanti,” katanya.