Langsai hutang baru boleh kembali ke Astaf - Utusan Malaysia

Langsai hutang baru boleh kembali ke Astaf

ABDUL HALIM KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) meminta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin sebanyak AS$15,000 (RM62,779) sebelum mengemukakan rayuan menyertai semula badan induk berkenaan.

Pada 14 Februari lalu, Astaf menerima surat daripada PSM yang menjelaskan bahawa badan induk sepak takraw Malaysia itu mahu untuk menjadi kembali ahli gabungan Astaf.

Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, beliau menganggap permintaan PSM itu tidak matang selepas gagal mematuhi peraturan dan membayar denda kepada Astaf.

“Memandangkan PSM gagal untuk mematuhi peraturan dan bayaran balik seperti diarahkan iaitu sebanyak AS$15,000 kepada Astaf, permintaan tersebut tidak matang.

“Astaf sedar akan hala tuju baharu dalam memulakan usaha untuk mentadbir persatuan tetapi keputusan ini juga termasuk berkaitan tugas dan liabiliti sebelum ini di mana salah seorang daripada mereka telah dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib Astaf dan seterusnya disingkirkan

“Pada ketika ini, keputusan Astaf kekal kepada penyingkiran PSM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Mei tahun lalu, PSM disingkirkan daripada ahli gabungan badan induk asia itu selepas bekas presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail melanggar perjanjian bersama Astaf dan Persekutuan Sepak Takraw Antarbangsa (ISTAF).

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, PSM di bawah kepimpinan baru akan meneruskan inisiatif perbincangan dan langkah pendamaian bersama Astaf.

“Permohonan ini juga mengambilkira pengiktirafan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap PSM sebagai badan induk bagi sukan sepaktakraw yang sah.

“PSM yakin kepimpinan Astaf akan meneliti dan membuat penilaian yang sewajarnya terhadap permohonan PSM untuk kembali menyertai Astaf dan bersama-sama dalam usaha pembangunan sukan sepak takraw di rantau Asia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya