KPT-Masum iringi Melaka ke separuh akhir Divisyen 1 - Utusan Malaysia

KPT-Masum iringi Melaka ke separuh akhir Divisyen 1

AKSI Melaka Titans (kanan) ketika menentang PDRM Defenders dalam saingan Divisyen 1, STL 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: KPT-Masum Knights mengesahkan slot separuh akhir selepas menundukkan pencabar dari Sarawak, SSC Hunter dalam permainan yang berlanjutan ke rubber-set dalam aksi Kumpulan A Divisyen 1 pada kejohanan Emas Anuar Sepak Takraw 2021/22 di Stadium Titiwangsa dekat sini, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Ahmad Sufi Mohamed Hashim itu meraih kemenangan 20-22, 21-13, 21-11 dalam pertarungan yang berlanjutan selama lebih sejam untuk muncul juara Kumpulan A, manakala Melaka Titans sebagai naib juara.

Apit kanan KPT-Masum Knights, Amir Syahiran Mohd. Fuzi ketika ditemu bual Astro Arena selepas perlawanan berkata, kelebihan yang dimiliki KPT-Masum dari segi pengalaman telah membawa kepada kemenangan pasukannya.

“Cuma dalam set pertama kami sedikit leka dan bermain sambil lewa menyebabkan SSC Hunter memanfaatkan kesempatan untuk menang,” katanya.

Ketika ditanya keputusan meletakkan Mohamad Zafran Khairon Anuar dalam regu utama menjadi punca kepada kekalahan pasukannya dalam set pertama, Amir Syahiran memberitahu, tindakan merehatkannya pada set pembukaan merupakan keputusan jurulatih dan dia menghormatinya.

“Saya direhatkan kerana saya telah bermain sewaktu menentang Melaka Titans, malam semalam, jadi jurulatih membuat keputusan memasukkan Zafran terlebih dahulu untuk memberi peluang kepadanya,” ujarnya.

Kemenangan ke atas SSC Hunter yang meletakkan KPT-Masum selaku juara Kumpulan A telah mengumpul enam mata daripada tiga kemenangan, manakala Melaka Titans yang muncul sebagai naib juara turut mengutip jumlah mata yang sama.

Dalam separuh akhir esok, KPT-Masum akan bertemu naib juara Kumpulan B, Labuan Drillers, manakala Melaka akan turun beraksi menentang Kedah Eagles.

Mengulas mengenai perlawanan separuh akhir, esok, Amir Syahiran memberitahu, dia dan rakan sepasukannya akan berusaha memberikan aksi terbaik bagi merebut tempat ke final pada Ahad. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya