KUALA LUMPUR: Pendatang baharu Liga Premier, Putrajaya Cyborg melakar kejutan terbesar dalam Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 ketika menentang Kuala Lumpur (KL) Thunder buat kali pertama pada 29 Januari lalu apabila menang 2-1.
Bagaimanapun hari ini, KL Thunder semakin menyerlahkan kehebatan sebagai juara bertahan dan tidak lagi membenarkan ‘robot’ dari Putrajaya itu berleluasa apabila menang 21-19, 21-18 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Kemenangan itu pastinya membolehkan anak-anak buah Mohd. Rashidi Nordin terus menghambat pendahulu liga, ATM Guardians dan mengukuhkan kedudukan di tangga kedua.
KL Thunder kini mengumpul 14 mata hasil tujuh kemenangan untuk menghuni tangga kedua di belakang ATM Guardians yang masih mengungguli carta STL setelah menghimpun 20 mata. – UTUSAN ONLINE