KOTA BHARU: Kuala Lumpur (KL) Thunder menjadi mangsa terbaharu kebangkitan Johor Tigris apabila tumbang 1-2 dalam aksi Premier di kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Kompleks Sukan Panji di sini, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, Syahir Rosdi memberi tekanan awal buat Johor Tigris apabila servis-servis ace yang dilakukan menyaksikan KL Thunder memimpin aksi tersebut dengan kedudukan mata 14-11.
Tekong import Tigris dari Thailand, Siwatbanchan Seekhwa menambah dua mata menerusi servis sebelum Haziq Norali mengikat kedudukan menjadi 14-14, sekali gus meredakan tekanan buat pasukan selatan tanah air itu.
KL Thunder terus menjarakan kedudukan menjadi 19-17 yang disumbangkan oleh aksi kemas Syahir.
Haziq kembali merapatkan jurang mata menjadi 18-19 apabila libasannya gagal diapungkan oleh pemain KL Thunder.
Libasan Azlan selepas itu membunuh kebangkitan Johor Tigris untuk menutup set pertama dengan kemenangan 21-18 dalam tempoh 24 minit.
Set kedua, Johor Tigris bermula garang apabila mendahului 4-0 ke atas KL Thunder, namun KL Thunder bangkit merapatkan jurang mata menjadi 5-5 selepas itu.
Aksi sengit berterusan terus dipamerkan oleh kedua-dua pasukan apabila saling berbalas-balas mata menyaksikan Johor Tigris berada dihadapan pada kedudukan 16-12.
KL Thunder kembali menarik nafas lega apabila kedudukan kembali terikat 18-18, bagaimanapun Johor Tigris terus bergerak ke mata penamat 20-18.
Azlan merapatkan mata menjadi 20-20, namun Haqiz berjaya memberi kemenangan buat Johor Tigris untuk mengheret perlawanan ke set penentuan selepas meraih mata 22-20.
Set penentuan KL Thunder bagaikan hilang arah apabila jauh ditinggalkan oleh Johor Tigris pada kedudukan 9-18.
Siwatbanchan menghadiahkan kemenangan multak buat Johor Tigris apabila servis kencangnya gagal diapungkan oleh pemain KL Thunder sekali gus menutup aksi itu dengan keputusan 21-11. – UTUSAN ONLINE