BAYAN BARU: Kuala Lumpur (KL) Thunder yang sudah terlepas untuk mempertahankan kejuaraan Premier tetap bersemangat memburu sekurang-kurangnya gelaran naib juara selepas membenam Perak Bison 2-1 untuk kekal di tangga kedua Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021-2022 hari ini.
KL Thunder yang kalah mengejut kepada Selangor Pistons semalam dan melepaskan takhta Premier kepada ATM Guardians bangkit melakar kemenangan 21-14, 20-22, 21-15 ke atas Bison di Spice Arena, Bayan Baru.
Ujian sebenar anak-anak buah Rashidi Nordin tiba malam esok apabila berdepan pencabar utama mereka untuk memburu kedudukan naib juara, Penang Black Panthers yang pastinya mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah.
Kemenangan itu membolehkan Thunder mengumpul 18 mata, dua mata ke atas Penang Black Panthers yang mampu menyamakan mata jika mengalahkan Selangor Pistons pukul 8 malam ini.
Dalam aksi semalam, KL Thunder yang turut selaku juara berganda musim lalu bermula agresif dengan mendahului mata 11-6 setelah 15 minit permainan dimulakan.
Set pertama diakhiri dengan KL Thunder menang 21-14 ke atas Perak Bison setelah 24 minit perlawanan berlangsung.
Set kedua pula menyaksikan Perak Bison cuba bangkit dari igauan ngeri pada pusingan pertama, namun tidak bernasib baik apabila KL Thunder membantutkan usaha mereka dengan mendahului mata 5-2.
Pertahanan KL Thunder yang sedikit goyah membolehkan Bison mengikat kedudukan 10-10, sebelum menang 22-20 untuk mengheret permainan ke set penentuan, di mana Thunder akhirnya menang 21-15. – UTUSAN ONLINE