LONDON: Kemenangan 2-0 Chelsea ke atas Lille dalam pusingan pertama, peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi dibayangi oleh kecederaan Mateo Kovacic dan Hakim Ziyech.
Penyerang Jerman, Kai Havertz menanduk bola sepakan penjuru Ziyech untuk gol pembukaan Blues seawal minit kelapan dan Christian Pulisic menggandakan kedudukan 2-0 selepas menyempurnakan hantaran N’Golo Kante di Stamford Bridge.
Juara bertahan itu kini menjadi pilihan untuk melangkah ke suku akhir, malah kemenangan tersebut menyuntik semangat mereka menjelang pertemuan akhir Piala Liga menentang Liverpool, Ahad ini.
Begitupun, Chelsea sedikit resah dalam persiapan bertemu Liverpool ekoran kecederaan yang membayangi Ziyech dan Kovacic.
Penyerang Maghribi, Ziyech dan bintang tengah Croatia, Kovacic meninggalkan pandang dalam keadaan terhincut-hincut, situasi yang tidak menggembirakan pengendali mereka, Thomas Tuchel menjelang aksi di Wembley.
“Saya sepatutnya menggantikan Mateo pada babak pertama . Saya belum bercakap dengan doktor tentang Hakim dan berharap keadaannya tidak serius. Hari ini hari Selasa, ada banyak hari untuk pulih menjelang Ahad. Saya harap mereka akan bersedia.
“Ia seakan kisah musim ini: setiap perlawanan kedua kami melakukan pertukaran kerana kecederaan dan bukan sebab taktikal. Ia terus menghambat kami,” kata Tuchel kepada BT Sport.
Chelsea membuktikan mereka mampu mencipta kemenangan tanpa bintang penyerang Belgium, Romelu Lukaku dan kelab London itu menjadi pilihan untuk mengatasi Lille sekali lagi apabila bertandang ke Perancis untuk aksi kedua, 16 Mac nanti.
Ini adalah kemenangan keenam berturut-turut Chelsea dalam semua pertandingan, dan mereka mengharungi cabaran di sebalik isu penurunan prestasi yang dialami Lukaku.
Lukaku hanya menjaringkan 10 gol sejak berpindah dari Inter Milan tahun lalu, malah hanya tujuh kali menyentuh bola ketika pasukanya menang 1-0 ke atas Crystal Palace Sabtu lalu, rekod terendah Liga Perdana sejak 2003-2004. – AGENSI