BAYAN BARU: Kelantan Warriors berada di ambang penyingkiran ke Divisyen 1 musim depan mengalami kekalahan terbaru 17-21, 21-17, 17-21 kepada Negeri Sembilan Antlers (NS Antlers) dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 hari ini.
Dengan saingan berbaki dua perlawanan, Kelantan Warriors kekal di dasar liga menerusi lapan mata dan wajib menang ke atas Johor dan Perak Bison minggu depan sambil berharap beberapa keputusan perlawanan lain memihak kepada mereka.
Selepas menumpaskan Bomba Fighters 2-0 semalam, Kelantan gagal meneruskan momentum baik di Spice Arena, Bayan Baru hari ini.
Di awal set pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas mata, namun beberapa kesilapan Warriors membolehkan Antlers menang 21-17 dalam tempoh 26 minit.
Kelantan Warriors cuba bangkit mengejar dan menghidupkan harapan di set kedua apabila menang 21-17 untuk mengheret permainan ke penentuan set ketiga.
Malangnya, mereka terpaksa akur 17-21, sekali gus berada di kedudukan bahaya.
Anak-anak buah Azhar Sarabini ditinggalkan dua mata dari zon selamat, dan tidak boleh keciciran mata pada dua perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Indera Mulia minggu depan.
Perak Bison yang berada pada kedudukan kedua tercorot dengan 10 mata mampu mengeluarkan diri dari zon penyingkiran jika mengalahkan juara baharu Premier, ATM Guardians pukul 10 malam ini. – UTUSAN ONLINE