KOTA BHARU: Kelantan Warriors tetap berjuang habis-habisan untuk ‘menyelamatkan’ diri daripada tersingkir ke Divisyen 1 biarpun tempang tanpa beberapa tonggak memasuki minggu ketujuh Liga Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.
Pengendalinya Azhar Sarbini berkata, selain isu kecederaan Kelantan Warriors turut berdepan masalah kesihatan apabila ada pemain mereka dijangkiti Covid-19.
Menurutnya, kemenangan dalam dua perlawanan di minggu ketujuh itu amat penting dalam usaha ‘membebaskan’ pasukan dari kedudukan tercorot liga.
“Secara matematik, Kelantan Warriors masih ‘bernyawa’. Cuma kita perlu meraih kemenangan dalam baki empat perlawanan (dua minggu ketujuh dan dua minggu kelapan).
“Kelantan Warriors sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan selepas ini, jadi saya harap kita mampu melakukan sesuatu yang positif di sini nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Azhar atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Add memberitahu, pemain tidak perlu tertekan apabila turun ke gelanggang menentang Bomba Fighters hari ini, diikuti Negeri Sembilan Antlers esok.
Katanya, apabila pemain beraksi tanpa tekanan mereka mampu memberikan cabaran kepada lawan.
“Berdepan dengan Bomba Fighters saya akui bukan satu tugas mudah ditambah pula dengan kehadiran Rusdee Leeram di posisi perejam.
“Namun, kita akan memberikan laluan mudah. Kelantan Warriors akan berjuang mati-matian pada perlawanan itu nanti,” ujarnya.
Selain Bomba Fighters Kelantan Warriors akan berdepan Negeri Sembilan Antlers esok.