KOTA BHARU: Kelantan Warriors terus dirundung malang apabila kalah mudah 15-21, 13-21 kepada Selangor Pistons dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Kompleks Sukan Panji di sini, sebentar tadi.
Kekalahan itu terus ‘mengukuhkan’ kedudukan Kelantan di dasar Liga Premier.
Biarpun berdepan sorakan padu penyokong Kelantan Warriors, ia tidak menggugat mental pemain Selangor Pistons apabila selesa memimpin perlawanan pada kedudukan mata 12-6 di set pembukaan.
Kelantan Warriors membuat rombakan apabila membawa masuk Zulkifli Abdul Razak atau Sobey untuk ‘menekan’ mental pihak lawan.
Kemasukan Sobey memberikan nafas baharu buat Kelantan Warriors apabila berjaya merapatkan kedudukan menjadi 10-13.
Libasan padu Eqbal Samsudin secara konsisten menghadiahkan tiga mata berturut-turut buat Kelantan Warriors menjadi 13 sebelum Sobey menjadikan kedudukan 14-14 sekaligus memberi tekanan buat Selangor Pistons.
Selangor Pistond pula menjarakan kedudukan mata kepada 17-14 untuk mengembalikan semula tekanan buat Kelantan Warriors.
Situasi itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Selangor Piston untuk meraih kemenangan set pertama dengan kemenangan 21-15.
Set kedua, libasan-libasan padu Eqbal memberi permulaan baik buat Kelantan apabila mendahului Selangor Pistons 6-3.
Kedudukan mata kembali bertambah buat Pistons apabila merapatkan kedudukan menjadi 9-11.
Selangor Pistons terus mencuri untuk mendahului pungutan mata 18-13 sekaligus menambah tekanan buat Kelantan Warriors selepas kehilangan khidmat Eqbal yang mengalami kecederaan.
Kesempatan itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengalahkan Kelantan Warriors dengan kiraan mata 21-13. – UTUSAN ONLINE
KEDUDUKAN TERKINI LIGA PREMIER STL 2021/2022