BAYAN BARU: Biarpun gagal memanfaatkan dua perlawanan minggu ketujuh, Bomba Fighthers yakin mampu menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Divisyen 1 musim depan apabila saingan Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 memasuki minggu terakhir di Ipoh hujung minggu ini.
Juara Divisyen 1 musim lalu itu tekad mencari kemenangan biarpun bakal berdepan dua perlawanan sukar iaitu Kuala Lumpur (KL) Thunder pada Jumaat ini, diikuti Penang Black Panthers, dua pasukan yang bersaing sengit untuk gelaran naib juara.
Selepas tewas 21-17, 14-21, 13-21 kepada Putrajaya Cyborg dalam saingan Jumaat lalu, Bomba tumpas 16-21, 19-21 kepada pasukan yang bergelut di dasar liga, Kelantan Warriors kelmarin.
“Berdasarkan status semasa, rancangan dan sasaran kita adalah mahukan kemenangan di sini (Pulau Pinang). Kekalahan dengan Kelantan Warriors yang mempertaruhkan hanya tiga pemain memang tidak terduga.
“Strategi kami tidak menjadi, pemain gagal memanfaatkan dua perlawanan terutama dengan Kelantan Warriors. Rezeki tidak memihak kepada kami.
“Ketika ini, semua pasukan berada dalam saingan bagi merebut kedudukan kedua hingga keempat liga. Kita hanya tinggal dua baki perlawanan sahaja lagi yang akan berakhir di Perak minggu depan,” kata pengendali pasukan, Norizan Saad kepada Utusan Malaysia.
Katanya, Bomba tiada pilihan kecuali memenangi kedua-dua perlawanan sukar itu jika tidak mahu kembali ke liga bawahan hanya semusim selepas bermain pada saingan Premier.
“Kita masih lagi berada dalam saingan dan Insya-Allah…yakin kekal berada di Liga Premier. Itu sudah cukup buat kami.
“Untuk perlawanan terakhir nanti, kami akan melakukan semula ‘post mortem’ esok (hari ini) bagi memperbaiki kekurangan serta kelemahan pasukan,” jelasnya.