PETALING JAYA: Biarpun kekal mengungguli carta Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 selepas tamat pusingan pertama, namun ATM Guardians masih tidak menganggap mereka sebagai pilihan juara.
Kekalahan mengejut yang dialami kepada Selangor Pistons, Sabtu lalu membuatkan skuad bimbingan Aswadi Abdullah lebih berwaspada sebelum pusingan kedua disambung pada 11 Februari.
Kata Aswadi, naib juara premier musim lalu itu perlu meningkatkan lagi permainan untuk menghadapi pusingan kedua yang lebih mencabar kerana beberapa pasukan mula mendapat khidmat pemain import.
“Mahu atau tak, kita perlu tingkatkan lagi prestasi pasukan pada pusingan kedua nanti kerana dijangka ada pemain import lain yang akan hadir untuk menguatkan pasukan mereka.
“Walaupun kami mendahului liga, kami tidak boleh berpuas hati dengan tahap kemampuan ketika ini kerana kita masih mempunyai baki empat minggu perlawanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan, ATM Guardians mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan mengutip 16 mata, empat mata di depan pesaing terdekat, Kuala Lumpur (KL) Thunder yang berkongsi mata bersama Putrajaya Cyborg.
Mengulas lanjut mengenai kemenangan pasukannya menentang Kelantan Warriors kelmarin, Aswadi memberitahu kemenangan berharga itu meningkatkan kembali semangat pemainnya.
“Kemenangan ini amat bermakna bagi kami kerana ia dapat meningkatkan kembali semangat pemain yang dilihat menurun selepas tewas kepada Selangor Pistons Sabtu lalu.
“Pada awalnya, saya bimbang pemain masih lagi teringat kekalahan itu tetapi alhamdulillah, saya lega mereka tolak tepi semua itu dan kembali bangkit untuk meraih kemenangan,” jelasnya.
Aswadi berharap dengan waktu rehat yang diberikan kepada pasukan dapat mengembalikan tahap kecergasan anak buahnya agar pasukannya dapat mempamerkan aksi sebenar menjelang pusingan kedua STL pada 11 Februari depan.
STL yang berehat bermula 31 Januari (semalam) akan bersambung semula pada 11 Februari di Stadium Titiwangsa sebelum menjelajah ke Kompleks Sukan Panji, Kota Bharu, Kelantan pada minggu seterusnya.