Kedah garang bersama jersi baharu - Utusan Malaysia

Kedah garang bersama jersi baharu

REKAAN jersi pasukan KDA FC untuk aksi di gelanggang sendiri pada musim 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) FC hari ini melancarkan jersi yang akan diguna pakai pada sepanjang saingan Liga Malaysia 2022 bermula 4 Mac depan.

Bagi jersi untuk aksi di gelanggang sendiri, warna kuning menjadi pilihan dengan jalur hijau serta merah menghiasi bahagian leher serta lengan pemain selain dipadankan dengan seluar yang juga berwarna kuning.

Sementara itu, jersi bagi aksi di gelanggang lawan pula, KDA FC memilih warna maroon bersama lilitan hijau di leher dan lengan bersama seluar hijau seperti kombinasi warna yang dipakai sejak beberapa musim lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali, jersi tersebut dihasilkan menggunakan kain yang lebih istimewa dengan teknologi tersendiri dan terkini oleh jenama sukan terkenal, Lotto.

JERSI ‘away’ Kedah Darul Aman musim 2022.

“Ciri-ciri menarik jersi ini adalah rekaan eksklusif melalui kesan kain timbul 3D, penggunaan kain yang ringan, logo silikon berwarna penuh dan dilengkapkan dengan teknologi ‘Deep Dry’ oleh Lotto.

“Selain itu, untuk jersi berwarna kuning terdapat rekaan mural padi disemat erat di dada pemain manakala pada jersi merah pula, terdapat rekaan berulang geometrik V,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Di samping dua jersi tersebut, KDA FC turut memperkenalkan tiga lagi jersi yang akan dipakai oleh penjaga gol berwarna biru, oren dan kelabu.

JERSI penjaga gol.

Tambahnya, buat masa ini, kit jersi pasukan KDA FC dibuka untuk tempahan awal melalui saluran E-Dagang Lotto, Shopee Prestige Sports dengan stok terawal dijangka akan diterima penyokong pada 10 Mac depan.

“Bagi tempahan yang dibuat menerusi pengedar barang rasmi KDA FC iaitu KDA Store, penyokong boleh mendapatkan stok awal bermula 25 Mac 2022.

“Harga ditawarkan adalah sebanyak RM139 untuk jersi autentik dan RM99 untuk jersi replika,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya