PETALING JAYA: Jika tidak mahu Liga Malaysia (Liga M) dianggap membosankan kerana hanya dikuasai Johor Darul Ta’zim (JDT), pasukan-pasukan lain sepatutnya bekerja keras untuk mengejar Harimau Selatan.
Kelmarin, JDT mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat musim kelima berturut-turut selepas mudah menumpaskan juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City (KL City) 3-0 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Ismail Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Kemenangan itu memberi amaran, Harimau Selatan bersedia meneruskan dominasi apabila Liga Malaysia (Liga M) 2022 membuka tirai, Jumaat ini dan menjadi pilihan untuk mengekalkan gelaran Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.
Bekas pengendali skuad kebangsan, B. Sathianathan berkata, kemenangan JDT sepatutnya mendorong pasukan lain menekan ‘gear 5’ dengan meningkatkan prestasi, fasiliti dan semua aspek pembangunan bola sepak untuk mengejar gergasi selatan itu.
“Dalam persaingan piala apa pun tidak pernah membosankan. Kemenangan JDT sepatutnya mencabar pasukan lain untuk mengejar, menjadi lebih baik dan bersaing dengan mereka.
“Bagi saya, JDT telah memberi cabaran kepada pasukan lain untuk jadi lebih fokus dalam membentuk kelab kerana mereka mempunyai pemimpin yang realistik. Itulah beza orang yang bercita-cita besar dengan orang yang berangan,” kata Sathianathan kepada Utusan Malaysia.
Katanya, sekalipun pasukan lain mungkin tidak berkemampuan berbelanja besar seperti JDT, mereka tetap perlu membuat pelaburan untuk menyediakan fasiliti terbaik seperti padang latihan, selain membangunkan pemain-pemain muda yang pada akhirnya boleh dijual kepada pasukan lain.
“Sebab itu kelab perlu bijak memasarkan pasukan bagi mencari dana berbanding mengharapkan bantuan kewangan semata-mata. Kita lihat JDT, mereka buat fasiliti baharu dengan stadium dan kelengkapan latihan yang cukup untuk pemain.
“Pelaburan mestilah di tempat yang betul, barulah perkara yang baik akan ikut sama. Mesti ada pemimpin yang betul-betul bercita-cita tinggi, tetapi kalau tiada cita-cita dan hanya mengharapkan bantuan, sampai bila-bila pun JDT akan di atas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar Sathianathan, sesebuah kelab perlu mempunyai matlamat jelas misalnya sama ada mahu menyediakan pemain berkualiti untuk ke skuad lain atau mahu menjulang trofi, atau kedua-duanya.
Katanya, pelaburan yang tepat berdasarkan keperluan semasa akan mengimbangi kelemahan dan kekuatan sesebuah kelab dalam menjalankan strategi pemasaran mereka bagi membiayai segala kos.
Dalam perkembangan sama, Sathianathan menjangkakan tiga pasukan musim ini iaitu Selangor, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) dianggap pencabar terdekat JDT.
“Sepatutnya Selangorlah yang menjadi pesaing terkuat sebab mereka pernah ada program DNA Jerman sebelum ini. Namun bagi saya, Terengganu juga hebat pada musim lalu, taktikal yang digunakan jurulatih Nafuzi Zain sangat membuka mata semua kelab untuk rasa tercabar.
“Selain itu, kita juga tidak boleh lupakan Sabah kerana mereka juga mempunyai Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih termasuk Pahang. Saya yakin, liga tahun ini akan lebih mencabar berbanding tahun lepas,” katanya.